Selasa, 1 April 2014

Warna

Warna merupakan aspek yang penting dalam kehidupan harian kita. Menurut pakar dekorasi dalaman dan warna iaitu Encik Eric Leong ada menyatakan bahawa warna memainkan peranan yang besar dalam kehidupan kita. Selain itu, warna juga dapat melambangkan personaliti serta sikap seseorang.

Biru

Warna biru lembut merupakan salah satu kegemaran saya. Hal ini kerana saya amat berasa tenang apabila melihat sesuatu yang berwarna biru seperti laut. Apabila saya menghadapi saat-saat tertekan saya akan mengimpikan bahawa saya berada di sebuah pulau yang dipenuhi dengan air laut yang berwarna biru mampu menenangkan jiwa saya. Melalui perspektif personaliti sesiapa yang menyukai warna biru pula ialah seseorang yang kreatif, mudah mengerti serta mudah sensitif. Melalui pengalaman saya, personaliti yang mudah mengerti amat sesuai dengan diri saya. Hal ini kerana saya mudah memahami isi hati orang-orang yang rapat dengan saya seperti kawan-kawan dan ahli keluarga. Saya juga tidak dinafikan merupakan seseorang yang mudah sensitif. Hal ini mungkin juga saya merupakan anak yang bongsu yang sering dilabelkan sebagai anak yang manja. Selain itu, warna biru juga sering dikaitkan dengan seseorang yang mempunyai daya imaginasi yang tinggi serta sentiasa bertindak secara praktikal dalam kehidupan. Tambahan pula, seseorang yang menyukai warna biru merupakan penasihat yang baik kerana menggunakan pengetahuan untuk menyelesaikan masalah. Ia juga dikatakan seseorang yang gemar melakukan aktiviti mengikut kesesuaian masa serta tidak suka terburu-buru.


Warna kegemaran saya yang kedua pula ialah hijau muda. Apabila memikirkan warna hijau, saya akan melihat kedamaian dalam diri saya. Menurut kajian yang telah dilakukan, seseorang yang menukai warna hijau merupakan seorang yang rajin dan jujur bekerja disamping tekun serta sabar melakukan sesuatu. Selain itu juga, ia juga merupakan seseorang yang pencinta keharmonian dan kedamaian serta sentiasa dahagakan ilmu. Saya juga suka melihat pemandangan yang hijau seperti melihat pokok-pokok yang berada di hutan. Suasana seperti itu mampu memberi saya ketenangan dan kedamaian. Tambahan pula, seseorang yang menyukai warna hijau merupakan seorang pencinta alam sekitar. Saya juga amat gemar melakukan aktiviti riadah di dalam hutan. Hal ini kerana disamping melakukan riadah, saya dapat melihat keindahan alam semula jadi yang mengagumkan.

Kesimpulannya, tanpa warna siapalah diri kita. Warna mampu memberikan warna warni dalam kehidupan kita. Walau apa pun warna yang kita sukai, warna itu adalah yang terbaik untuk diri kita kerana hanya kita mampu memahami apa makna tersirat disebalik warna yang kita sukai.

Suasana pembelajaran di universiti




 UNIVERSITI...
Satu perkataan yang mampu memberi seribu makna dan melahirkan pelbagai perasaaan yang tersirat. Setiap pelajar sekolah mengimpikan untuk melanjutkan pelajaran di menara gading iaitu universiti. Tambahan pula, mempunyai peluang untuk melanjutkan pelajaran di universiti merupakan kejayaan yang amat dinantikan oleh para pelajar. Kita dapat lihat riak wajah orang disekeliling apabila mengetahui berita gembira bahawa salah seorang dapat melanjutkan pelajaran di universiti. Bagi diri saya sendiri, saya amat bersyukur dapat melanjutkan pelajaran di salah sebuah universiti tempatan yang terletak di utara tanah air iaitu Universiti Utara Malaysia (UUM).

Perpustakaan UUM
Setelah hampir tiga tahun belajar disini dan saya juga merupakan pelajar semester akhir, suasana pembelajaran di UUM tidak mungkin saya untuk melupakan dengan begitu mudah sekali. Persekitaran disini yang penuh dengan kehijauan alam sekitar serta disajikan dengan langit biru yang terbentang luas, ia mampu memberi keselesaan dan ketenangan kepada para pelajar disini. Selain itu, kemudahan yang disediakan seperti pusan sukan, pusat kesihatan universiti, perpustakaan, dan sebagainya seiring dengan keperluan yang diperlukan oleh para pelajar. Tambahan pula, pengangkutan utama oleh para pelajar disini ialah bas. Kemudahan bas yang disediakan membolehkan para pelajar dapat bergerak ke tempat-tempat yang dikehendaki dengan mudah. Selain itu, perkhidmatan bas disediakan dari seawal 7 pagi sehingga 12 tengah malam.

Jejaknya kaki saya disini untuk menimba ilmu dalam bidang ijazah Pengurusan Risiko dan Insurans. Bidang saya memerlukan tiga tahun atau enam semester untuk melengkapkan ijazah saya. Pengalaman saya belajar hampir tiga tahun disini, sedikit sebanyak telah mengubah hidup serta pemikiran saya. Bidang yang saya pelajari memerlukan penguasaan dalam bahasa inggeris kerana hampir 90% pembelajaran dalam bidang ini dilaksanakan dalam bahasa tersebut. Selain itu, saya juga dapat mempelajari bagaimana untuk menguruskan risiko dalam kehidupan harian. Tambahan pula, subjek insurans yang saya pelajari sedikit sebanyak memberi impak dan kesedaran kepada saya. Pembelian insurans untuk kehidupan kita bukanlah satu pembaziran malahan ia merupakan satu kepentingan ataupun keperluan apabila kita memerlukan suatu hari nanti. Misalnya, pembelian insurans kesihatan mampu membantu kita dari segi kewangan melalui pembayaran untuk mendapatkan perkhidmatan di hospital. Hal ini kerana, mungkin pada hari kejadian tersebut kita tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk menampung perbelanjaan tersebut. Kita akan dapat lihat faedah insurans apabila pesakit memerlukan rawatan segera seperti pembedahan. Justeru, suasana pembelajaran yang baik mampu melahirkan para graduan yang cemerlang dan terbilang. Selain itu, pemilihan khusus pembelajaran yang sesuai amatlah penting bagi para pelajar dalam mencapai impian untuk dilahirkan sebagai graduan yang berkualiti tinggi.

Selasa, 11 Mac 2014

Kesan-kesan penerokaan hutan.

Penerokaan hutan

          Hutan merupakan khazanah dunia yang amat bernilai. Hutan juga telah membekalkan negara dengan pelbagai sumber seperti kayu-kayan dan ubat-ubatan. Malaysia telah dikenali dengan keindahan alam semulajadi yang sentiasa menjadi daya penarik kepada para pelancong asing. Walau bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini hutan telah menghadapi ancaman kemusnahan daripada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Peningkatan kegiatan pembalakan secara haram telah memberi impak yang ketara kepada negara. Pembalakan haram mampu menyumbang berlakunya bencana alam. Pembalakan haram mampu menjadikan permukaan bumi gondol dan terdedah kepada hakisan. Hakisan tersebut boleh menjejaskan kawasan tadahan hujan dan ia juga boleh menyebabkan berlakunya tanah runtuh. Kes terbaru yang berlaku disebabkan penerokaan hutan secara tidak terkawal ialah berlakunya banjir kilat di Cameron Highland pada bulan Oktober tahun lepas.

          Selain itu, ia juga akan menyebabkan berlakunya kepupusan flora dan fauna. Secara amnya mengetahui bahawa hutan merupakan tempat tinggal bagi pelbagai jenis tumbuhan dan spesis haiwan liar. Apabila berlakunya penerokaan hutan, ia akan menyebabkan terganggunya kawasan habitat tersebut tinggal dan seterusnya akan memberi kesan sehingga berlakunya kepupusan terhadap habitat tersebut. Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah menggariskan dua jenis tumbuhan yang diancam kepupusan akibat penerokaan hutan di Sarawak dan Selangor, iaitu Keruing Layang dan Merawan Kanching. Akhir sekali, penerokaan hutan boleh menyebabkan peningkatan suhu di negara kita. Aktiviti penerokaan hutan akan meningkatkan kandungan gas karbon dioksida dalam udara dan gas tersebut mampu memerangkap haba di atmosfera daripada dipantulkan semula. Fenomena tersebut telah menyebabkan berlakunya peningkatan suhu. Keadaan menjadi teruk apabila terdapat kekurangan tumbuhan untuk menyerap gas tersebut. Apabila berlakunya peningkatan suhu, ia akan memberi impak yang negatif seperti berlakunya jerebu. Kesimpulannya, penerokaan hutan seharusnya diberi perhatian sebelum berlakunya sesuatu kejadian yang lebih buruk. Semua pihak harus berkolaborasi bagi membendung kegiatan ini daripada terus meragut keindahan alam sekitar yang kita miliki sekarang.