Selasa, 11 Mac 2014

Kesan-kesan penerokaan hutan.

Penerokaan hutan

          Hutan merupakan khazanah dunia yang amat bernilai. Hutan juga telah membekalkan negara dengan pelbagai sumber seperti kayu-kayan dan ubat-ubatan. Malaysia telah dikenali dengan keindahan alam semulajadi yang sentiasa menjadi daya penarik kepada para pelancong asing. Walau bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini hutan telah menghadapi ancaman kemusnahan daripada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Peningkatan kegiatan pembalakan secara haram telah memberi impak yang ketara kepada negara. Pembalakan haram mampu menyumbang berlakunya bencana alam. Pembalakan haram mampu menjadikan permukaan bumi gondol dan terdedah kepada hakisan. Hakisan tersebut boleh menjejaskan kawasan tadahan hujan dan ia juga boleh menyebabkan berlakunya tanah runtuh. Kes terbaru yang berlaku disebabkan penerokaan hutan secara tidak terkawal ialah berlakunya banjir kilat di Cameron Highland pada bulan Oktober tahun lepas.

          Selain itu, ia juga akan menyebabkan berlakunya kepupusan flora dan fauna. Secara amnya mengetahui bahawa hutan merupakan tempat tinggal bagi pelbagai jenis tumbuhan dan spesis haiwan liar. Apabila berlakunya penerokaan hutan, ia akan menyebabkan terganggunya kawasan habitat tersebut tinggal dan seterusnya akan memberi kesan sehingga berlakunya kepupusan terhadap habitat tersebut. Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah menggariskan dua jenis tumbuhan yang diancam kepupusan akibat penerokaan hutan di Sarawak dan Selangor, iaitu Keruing Layang dan Merawan Kanching. Akhir sekali, penerokaan hutan boleh menyebabkan peningkatan suhu di negara kita. Aktiviti penerokaan hutan akan meningkatkan kandungan gas karbon dioksida dalam udara dan gas tersebut mampu memerangkap haba di atmosfera daripada dipantulkan semula. Fenomena tersebut telah menyebabkan berlakunya peningkatan suhu. Keadaan menjadi teruk apabila terdapat kekurangan tumbuhan untuk menyerap gas tersebut. Apabila berlakunya peningkatan suhu, ia akan memberi impak yang negatif seperti berlakunya jerebu. Kesimpulannya, penerokaan hutan seharusnya diberi perhatian sebelum berlakunya sesuatu kejadian yang lebih buruk. Semua pihak harus berkolaborasi bagi membendung kegiatan ini daripada terus meragut keindahan alam sekitar yang kita miliki sekarang.


 


9 ulasan: